Khamis, 27 Disember 2012

Hati Seorang Isteri Part 1...

Gambar Sekadar Hiasan
Wahai sekalian manusia! Bertakwa kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan (lalu) dari keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu
Al-nisa:ayat 1

Hanan tahu…Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya.  Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam.  Allah tahu.  Allah maha tahu.Adam tidak betah keseorangan… Lalu terciptalah Hawa…Hawalah penyeri…Hawalah penghibur. ..Hawa jua racun berbisa.  Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa.  Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa.  Lantas dicampakkan ke dunia.  Dunia yang penuh kekejaman.  Penuh noda.  Penuh sengsara.  Itulah wanita.  Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya.  Adam jatuh kerana Siti Hawa.  Habil, dan Qabil berbunuhan kerana  hawa.  Bill Clinton  menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa.  Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus.  Siapa tidak kenal lelaki itu?  Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi.  Ya...  Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan.  Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis.  Rambutnya lurus, kopiah di kepala.  Mukanya bersih disinari cahaya.  Bibirnya merah, sebagai tanda  tidak merokok.  Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro...  Tetapi, bukan itu alasannya.  Bukan itu puncanya.  Ilmu...  Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya.  Rasulullah pernah bersabda, " Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu.  Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu.  Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu."

" Umi...  Abu ingat abi."
" Abi sibuk.  Nanti malam, abi pulang.  Abu dah solat?  Pergi solat dulu.  Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu."

Abu Bakar...  Putera sulung Hanan bersama Muhammad.  Sebagai tanda cinta berpanjangan.  Abu Bakar As-Siddiq...  Sahabat akrab Rasulullah.  Itulah impian Hanan.  Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah.  Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat.  Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata.  Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah...  Begitu comel wajah itu.  Masih Hanan ingat.  Sewaktu Fatimah dilahirkan,  Muhammad tiada di sisi.  Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya.  Paginya menjadi penganalisis komputer.  Malamnya menggegarkan pentas ceramah.  Pendakwah bebas...  Perginya ke mana-mana.  Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu.  Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan.  Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami.  Di pangkuan suami tercinta.

" Ayang nak letak nama apa?"
" Suka hati abang la.  Asal abang suka, ayang tak bantah."
" Sumayyah?"
" Abang suka?"
" Entahlah.  Apa kata...   Fatimah Az-Zahrah."

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta.  Muhammad bahagia bersama Hanan.  Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya.  Dia tidak salah pilih.  Hanan begitu memahami.  Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan.  Hanan sentiasa patuh, dan redha.  Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu.  Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur.  Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima.  Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah.  Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya.  Siapakah dia?  Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah?  Dialah Siti Muthiah.  Wanita agung mentaati suami.  Dirinya untuk suami.  Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

" Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?"  Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.
" Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja.  Air ini kuhidangkan buatnya.  Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak."
" Bagaimana pula dengan rotan?"
" Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya."
" Adakah dia sering memukulmu?"
" Tidak.  Bahkan dia hanya memelukku di sisinya."
" Kamu memang layak masuk syurga," bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah.  Taat, dan patuh kepada suami.  Menjadi penawar buat suami.  Melahirkan permata hati untuk suami.  Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan.  Takbir!!  Hanan terkejut dari lamunan.  Dia terkenang kisah lampau.  Antara dia, dan Muhammad.  Antara cita-cita, cinta, dan harapan.  Konflik berlegar-legar.  Cita-cita membantu ibu di desa.  Meringankan beban ibu yang melahirkan.  Membalas jasa bapa yang membesarkan.  Hanan tahu perit ibu mengandungkan.  Sakit ibu melahirkan.  Penat ibu membesarkan.

Kakak,
Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong.  Nak bawa kami naik kapal terbang.  Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah.  Kenapa tak boleh sekarang?  Kakak tak ada duit ye?  Kakak tak cukup duit?  Salam sayang dari kami di kampung.
Abang.

Abang,
Bukan kakak lupa.  Kakak ingat janji kakak.  Tapi, apakan daya.  Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung.  Janji kakak,  agak sukar dikotakan.  Sayang sokmo.
Kakak.

Konflik terus bermain di kepala.  Antara ketaatan, dan cita-cita.  Antara harapan, dan cinta.  Hati Hanan menjerit.  Dia ingin mengotakan janjinya.  Ingin meringankan beban ibunya.  Hanan merancang sebegitu lama.  Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya.  Membantu keluarganya.  Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

" Ayang...  Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah.  Mungkin dalam dua hari."
" Pergilah bang.  Orang dah jemput."
" Macam mana anak-anak?"
" Abu...  Macam biasalah.  Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah."
" Ayang...   Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang.  Minggu ni, kita jimat sikit ye.  Duit ibu dah hantar?"
" Emmm...."


Abang,
Bukan harta yang dipinta.  Bukan emas yang dirayu.  Hanan ingin selalu di sampingmu.

Hanan serba salah.  Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya.  Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat.  Malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah.  Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana.  Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen.  Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung.  Hanan kasihan melihat suaminya.  Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya.  Ah!!  Iblis begitu kuat menghasut.  Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana.  Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya.  Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah.  Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, "Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu.  Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. " Ibrahim : 7. Ya...  Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya.  Mengasuh mengikut pesan suami.  Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras.  Hanan begitu bahagia.  Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat.  Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu.  Suami tanpa isteri.  Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah.  Bak kata seorang teman, " Hiduplah sebagai ulama',  matilah sebagai syuhadah."  Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya.  Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi.  Anak-anaknya bakal punya umi baru.  Akan ada orang lain di hati Muhammad.  Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya.  Apatah lagi wanita di dunia.

" Kakak...  Nenek sakit tenat.  Baliklah.  Ibu suruh kakak balik."
" Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah.  Macam mana kakak nak keluar rumah?"
" Kakak telefonlah dia.  Nenek dah nazak.  Kakak kena balik."
" Nanti kakak telefon abang Muhammad."

Telefon Muhammad?  Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu.  Hatinya meronta untuk pulang.  Tapi bagaimana?  Hanan tahu, suaminya tidak akan marah.  Bukan benda kecil.  Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad.  Jika dikhabarkan berita ini,  pasti Muhammad gelisah.  Hanan yakin,  Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini.  Hendak pulang sendiri?  Hanan mana ada fulus?  Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi.  Tetapi,  bagaimana dengan Abu, dan Fatimah?  Tinggalkan di rumah?  Tidak sama sekali.  Apa-apa boleh berlaku.  Budak-budak masih kecil.  Tidak tahu apa-apa.  Tidak mengerti apa-apa.  Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi?  Hanan tidak sanggup.  Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan.  Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini?  Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada?  Ibu tidak tahu.  Dan ibu tidak perlu tahu.  Ibu juga tidak boleh ambil tahu.  Hanan banyak berjimat.  Ditahan keperluannya.  Dipenuhi kehendak ibu bapanya.  Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah.  Biarlah dia berkorban sedikit.  Hanya sedikit...

" Kakak...  Nenek dah meninggal."
" Innalillahiwainnailahirajiun."

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya.  Telah tiba waktunya.  Rambutnya putih.  Tiada yang hitam.  Mukanya cengkung.  Tangannya berkedut.  Hanan sayang orang tua itu.  Dialah yang mengasuhnya selama ini.  Mendidiknya menjadi orang yang berguna.  Ibu juga mendidik.  Ayah juga mengajar.  Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi.  Akhirnya, nenek pergi jua.  Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya.  Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad.

" DaripadaNya kita datang.  KepadaNya kita kan kembali."

BERSAMBUNG...

2 ulasan:

  1. ~Alhamdulillah...Selangkah ke hadapan...Insya Allah..kamu dah boleh membuat suatu cerpen yang baik..jadi teruskan usaha anda...~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe...insya Allah...ni smua berkat bntuan drpd org2 trtntu juga,lgipun ilham trkeluar dgn tiba2..:)terima ksih..

      Padam